Bismilillahirrahmanirrahim Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang AssalamualaikumWarahmatullahiWabarakatu...Tak lama lagi umat islam akan menyambut tahun baru dalam islam iaitu Awal Muharram..Pesan pada diri sendiri dan pada kawan2 semua...Semoga thun yg sebelum ini mengadi pengajaran pada diri kita dan thun yg bakal tiba akan mendidik kita supaya menjafi lebih baik..Insya'Allah...
ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi
ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA
menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah
(ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu
dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)
Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak
ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya
empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah,
Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara
Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya
tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa
yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.
Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah
puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat
yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram,
terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan
larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan
haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya.
Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.
Hikmah bulan haram
Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan
secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi
memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji.
Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan
haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan
ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang
seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan
tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka
masing-masing yang saling berjauhan secara aman.
Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya
pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi
Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir,
4/148)
Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan
untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang
atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka
dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.
Amalan sunnah Muharam
Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal
setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis
tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa
sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam
adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.
‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau
mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10
Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di
mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya,
maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami
pun turut serta berpuasa.
” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada
kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam
untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada
awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang
lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap
terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut
berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada
hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan,
“Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi
yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk
tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga
bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.
Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari
Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para
sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang
diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”
Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH
kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata,
“Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih
dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di
hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut
disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana
sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar
ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment